Sunday, April 10, 2011

KEKUATAN MENTAL UNTUK BERTANDING

Dewasa ini, kekuatan mental merupakan aspek paling penting kepada seseorang atlet dalam menghadapi segala kejohanan. Dengan adanya mental yang kuat dan sentiasa positif membolehkan seseorang ahli sukan itu untuk melalui kejohanan dengan penuh keyakinan.
Pembentukan mental yang kuat lagi positif bergantung kepada mindset seseorang. Jika seseorang atlet itu merasakan dirinya mampu mengatasi lawan, maka tidak ada apa yang mampu menghalangnya. Begitu juga sebaliknya jika seseorang atlet mengatakan mereka tidak mampu mengatasi lawan, maka keputusan negatif sebaliknya yang berlaku.
Siapa yang menyangka juara bertahan Liga Perdana Inggeris, Manchester United boleh diaibkan dengan begitu teruk sekali di kandang sendiri oleh seteru utamanya, Liverpool hujung minggu lalu. Sejak sekian lama, pasukan Liverpool bertandang ke Old Trafford sekadar untuk bertahan atau mencari sekurang-kurangnya keputusan seri.
Tetapi pada pertemuan baru-baru ini, pasukan bimbingan jurulatih mereka, Daglish berkunjung ke Manchester dengan mentaliti yang amat positif dan strategi yang barangkali membuatkan Manchester United tersentak. Siapa yang boleh lupa bagaimana mantan pemain tenis nombor satu dunia, Roger Federer satu ketika dahulu begitu gah dan sukar untuk ditewaskan oleh lawan khususnya pesaing utamanya, Rafael Nadal.
Tetapi sejak kebelakangan ini, badi kekalahan Federer kepada Nadal semakin menjadi-jadi. Kekalahan demi kekalahan yang dialami Federer di tangan Nadal menjadikan pemain kidal dari Sepanyol, bogeyman yang harus dielakkan.
Perkara yang sama boleh kita katakan terhadap rekod buruk pemain badminton nombor satu dunia dan negara, Datuk Lee Chong Wei ketika menentang lawannya, Lin Dan dari China. Justeru, ketika sedang menonton perlawanan akhir Kejohanan Terbuka All-England yang disiarkan secara langsung di TV1 dua minggu sudah, saya agak kecewa dengan kelibat dan aksi Chong Wei yang dilihat tidak begitu bermaya.
Beliau seolah-olah memberikan penghormatan yang keterlaluan kepada Lin Dan sehinggakan pemain kidal dari China berjaya membaca seterusnya mematikan setiap langkah yang diambilnya. Dari segi ketinggian, kedua-dua pemain boleh dikatakan sama tinggi, begitu juga dengan stamina mereka.
Masing-masing juga mempunyai kemahiran dan taktikal yang tersendiri. Tetapi apa yang membezakan antara Lin Dan dan Chong Wei ialah persiapan dan kekuatan mental Chong Wei.
Sehubungan itu, kejayaan Chong Wei pada Kejohanan Terbuka Switzerland kelmarin wajar dijadikan iktibar bahawa kelemahan dari segi kekuatan mental yang melanda atlet-atlet sukan negara boleh dielakkan jika mereka yakin kepada diri sendiri.
Kunci untuk merungkai prestasi yang tidak konsisten ialah keyakinan pada diri sendiri. Ya, kita tidak nafikan faktor-faktor lain seperti kecergasan stamina dan berat badan memainkan peranan tetapi pada akhirnya keyakinan yang wujud menjadi penentu kepada kalah atau menang seseorang pemain.
Adalah tidak keterlaluan untuk saya mengatakan bahawa sikap inferiority complex masih berleluasa dalam pemikiran segelintir atlet sukan negara. Acap kali bersaing dengan atlet-atlet dari negara Barat, kita seolah-olah gugup dihanyut ketidakyakinan.
Tetapi yang anehnya mengapa negara-negara kerdil dari benua Afrika seperti Kenya, Habsyah dan Qatar mampu melahirkan olahragawan dan atlet-atlet sukan yang mampu mengungguli Sukan Olimpik? Dan yang lebih mengagumkan, kejayaan melahirkan atlet bertaraf dunia berjaya dilakukan tanpa kehadiran prasarana-prasarana dan teknologi canggih.
Mengapakah pula Malaysia, sebuah negara yang mempunyai budaya sukan tinggi, dilengkapi dengan prasarana bertaraf dunia dan mempunyai keupayaan menggaji jurulatih ternama, masih kempunan melahirkan atlet sukan yang mempunyai kekuatan mental?
Adakah mutu latihan, kualiti prasarana yang dibina malah jurulatih yang diambil tidak mencapai standard yang dikehendaki ataupun masalah ini lebih bertitik-tolak kepada sikap negatif kita yang sering merendah-rendahkan keupayaan dirinya?
Pada pengamatan saya, semua atlet sukan mempunyai keistimewaannya tersendiri dan masing-masing mempunyai potensi untuk berkembang. Semua juga sama hebat tetapi apa yang membezakan antara yang cemerlang dan sebaliknya adalah sikap serta komitmen mereka.
Menyentuh mengenai prestasi Chong Wei, anak kelahiran Bukit Mertajam ini tidak usah terlalu gembira atau berpuas hati dengan pencapaiannya di Terbuka Switzerland. Hakikatnya, rekod pertemuan Chong Wei melawan Lin Dan yang masih memihak kepada pemain China itu (4 kemenangan memihak kepada Chong Wei, 14 untuk Lin Dan) bererti perjuangan untuk mengekalkan gelaran pemain nombor satu dunia masih belum berakhir malah akan menjadi lebih mencabar selepas ini.
Sudah tentu Lin Dan tidak akan duduk diam selepas kekalahan terbarunya kepada Chong Wei dan pemain lincah tersebut sudah tentu akan memperbaiki kelemahannya dalam misinya untuk menumbangkan Chong Wei sekali gus merampas kembali ranking nombor satu dunia.
Pendek kata, Chong Wei tidak boleh memandang remeh terhadap ancaman Lin Dan. Berdasarkan kepada pertembungan beliau dengan Lin Dan dalam pertemuan-pertemuan sebelumnya, masih ada ruang kelemahan yang boleh diperbaiki.
Umpamanya pada perlawanan final di Kejohanan Terbuka All-England minggu sudah, Chong Wei dilihat agak gugup ketika menangkis serangan smash bertubi-tubi Lin Dan. Dari segi kepantasan, kekuatan dan kecerdasan menangkis serta membaca gerak lawan, Lin Dan terus di hadapan. Malah Chong Wei terikut-ikut dengan rentak permainan Lin Dan hinggakan beliau terperangkap dan mati langkah ketika cuba menangkis serangan pemain China itu.
Apa pun, kita harapkan kemenangan keempat peribadi Chong Wei ke atas Lin Dan akan menjadi titik-tolak kepada perubahan dari segi mentaliti pemain berkenaan ketika berhadapan dengan pesaing utamanya. Chong Wei tidak harus gugup ataupun berasa takut dengan Lin Dan. Apabila tembok psikologi ini mampu diatasi, tidak mustahil Lin Dan pula yang akan mengalami badi kekalahan kepada Chong Wei.
Realitinya, ada kalanya menjinakkan pihak lawan dilihat lebih mudah daripada menguasai pemikiran dan mentaliti diri kita sendiri. Inilah perspektif yang harus diteliti oleh badan sukan negara dalam usaha mengasah atlet-atlet sukan yang mampu bersaing di semua peringkat.
Chong Wei haruslah menjustifikasikan statusnya sebagai pemain badminton nombor satu dunia dengan mempamerkan persembahan mantap dan membuktikan kepada dunia bahawa beliau boleh mengalahkan sesiapa sahaja biarpun dalam keadaan tertekan.
Kemenangan ke atas Lin Dan di Terbuka Switzerland bukti bahawa Lin Dan tidak kebal dan mampu dijinakkan sekiranya Chong Wei mempunyai percaturan strategi yang bijak. Kita tidak mahu melihat Chong Wei hanya menyinar di peringkat negara tetapi kurang menyerlah di peringkat dunia dan akhirnya digelar sebagai jaguh kampung. Sudah tiba masanya Malaysia mempunyai seorang pemain badminton yang mampu mengekalkan ranking nombor satu dunia untuk satu tempoh yang lama.
Daripada bergelar sebagai juara kampung, lebih baik jika atlet-atlet sukan negara kita digelar sebagai juara dunia!

No comments:

Post a Comment